Selama
empat puluh empat hari, dikira dari hari pertama bersalin, adalah diadatkan
kepada ibu tersebut untung menjalani pantang. Ini bererti ibu tersebut ditegah
daripada makan sebarangan mengikut kehendaknya atau membuat apa-apa jua kerja
rumahtangga, walaupun bangun berjalan meninggalkan tempat tidurnya. Selepas
tujuh hari barulah ibu tersebut dibenarkan berjalan sedikit-sedikit, itu pun
hanya di dalam rumahnya sahaja. Pantang ini adalah dianggap suatu perkara yang
penting sekalipun ibu tersebut merasakan yang dia sudah boleh membuat sebarang
aktiviti seperti biasa dilakukan. Ketika dalam berpantang, ibu tersebut akan
dikehendaki memakai stoking atau membalut kakinya dengan kain bagi mengelakkan
angin memasuki badan. Di dahinya pula akan dilumurkan ubat yang bertujuan
menarik angin keluar dari badan.
Berpantang
bukan sahaja melibatkan pemakanan dan kesihatan diri ibu tersebut. Si suami
juga tidak digalakkan untuk meniduri isterinya ketika si isteri sedang
berpantang. Ini kerana dalam tempoh berpantang, si isteri akan berasa lemah
badan dan sakit ketika bersalin masih belum hilang sepenuhnya. Selain itu,
isteri juga akan mengalami darah nifas yang hanya keluar selepas bersalin dan
keadaan ini menimbulkan rasa kurang selesa bagi isteri untuk didatangi
suaminya.
Di
antara ubat yang dipakai dan dimakan oleh ibu bersalin biasanya adalah ubat
yang diberikan oleh tok bidannya sahaja. Selain daripada ubat yang dimakan dan
dipakai, ibu tersebut juga akan menjalani kaedah bertungku (tuam) di perutnya
sehari sekali selama tempoh pantangnya. Ada sesetengah bidan menggantikan
kerja-kerja bertungku dengan berdiang. Ibu-ibu akan diberikan makanan yang
boleh mendatangkan sumber darah di dalam badannya bagi menggantikan darah yang
telah banyak hilang semasa bersalin, contohnya limpa dan hati. Makanan tersebut
juga akan dimasak mengikut cara tertentu yang boleh membantu menghilangkan
angin di dalam badan dan mengecutkan segala urat saraf yang telah mengembang.
Ibu-ibu juga biasanya dinasihatkan memakan jamu yang dapat memulihkan semula
tenaga dan memperbaiki tekstur dan bentuk tubuh badan mereka seperti sediakala.
Namun
begitu, bagi masyarakat sekarang, bersalin di hospital adalah lebih selamat dan
mudah. Walaubagaimanapun, pantang larang selepas bersalin akan tetap diamalkan
dalam masyarakat Melayu untuk menjamin kesihatan ibu tersebut.
Tiada ulasan:
Catat Ulasan